Dalam konteks kanak-kanak, pendidikan perlu dilihat sebagai satu proses yang berterusan berkembang serentak dengan perkembangan individu seorang kanak-kanak yang mempelajari apa sahaja yang ada di persekitaran dan dengan 'ilmu' atau kemahiran yang diperolehi ia akan mengaplikasikannya dalam konteks yang pelbagai samada dalam kehidupan sehariannya di ketika itu ataupun sebagai persediaan untuk kehidupannya di masa yang akan datang ( Department of Education and Science, 1990 ).
Dalam erti kata lain, segala apa yang dilihat dan didengari oleh seorang kanak-kanak dari persekitaran adalah merupakan satu pendidikan baginya kerana yang nyata bagi kanak-kanak di peringkat awal umur, mereka tidak dapat membezakan yang baik dan yang buruk. Barat dan Islam mempunyai perspektif yang sama dalam hal ini, kanak-kanak perlu dibentuk dan dididik sejak dari awal. Apa yang membezakan ialah Islam menekankan pembentukan sahsiah seseorang kanak-kanak bukan hanya kelakuan fizikalnya tetapi pemantapan akhlak perlu diterapkan seiring dengan penerapan keimanan di dalam roh dan jiwanya.
Kalau sesuatu informasi yang diterima oleh seseorang kanak-kanak itu hanya di aras pengetahuan tanpa adanya penyemaian aqidah dan pemantapan akhlak, maka sudah pastilah nilai penghayatannya kontang dan proses aplikasinya tidak dapat diterjemah dalam bentuk nilai peradaban yang sempurna. Akibatnya, generasi yang dihasilkan mungkin bijaksana dan tinggi tahap perkembangan inteleknya tetapi 'pencapaian tinggi' yang hakikatnya dalam ruang lingkup yang sempit yang hanya didasarkan kepada ketiggian pencapaian akademik sedangkan dari aspek-aspek yang lain ia pincang dan tiada keseimbangannya.
Maka jika inilah yang berlaku dalam dunia pendidikan pada hari ini, ini bererti pendidikan gagal menjana anjakan paradigma dalam sel setiap individu dan dibimbing sejarah lama akan berulang. Analisis fakta dari perspektif sejarah telah cukup membuktikan bahawa kehancuran tamadun manusia contohnya Mesir, Greek, Rom dan Parsi adalah punca dari gagalnya penerapan akhlak dan nilai-nilai murni kepada generasi dan pewaris untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
No comments:
Post a Comment